Thursday, August 26, 2010

Saya Anak Malaysia

Tukang tulis... Syida@Mrs K at 8:45 AM

Tak sampai seminggu lagi kita akan meraikan Hari Kemerdekaan kita yang ke 53 tahun. Tetapi sayangnya rakyat Malaysia makin berpecah belah. Saya ulang rakyat Malaysia ye. Bukan orang Melayu sahaja. Satu ketika dulu saya masih ingat betapa kita sesama menghargai satu sama lain. Di sekolah kita berkawan dengan semua orang tak kira bangsa. Saya sendiri punya momen manis berkawan dengan berbilang bangsa. Malah setelah saya meletakkan jawatan saya masih berhubung dengan staf saya yang berbangsa Cina yang saya akui saya sayang dia macam adik sendiri. Anak-anak saya juga suka pada dia. Selalu bertanya bila Kakak Alice nak datang. Kami boleh berbual berjam lamanya bercerita tentang hal masing-masing. Pelat Bahasa Malaysianya tidak jadi penghalang. Satu masa dulu saya punya rakan India di sekolah. Bukan satu atau dua tapi ramai sebab masa tu kami tak pernah dikenalkan dengan perkataan Rasis. Tapi ironinya saya punya masalah dengan rakan Melayu. Mungkin faktor usia yang mentah saya mudah melatah jika fahaman dan pendirian saya diganggu. Itu cerita usia mentah.

Tapi jujurnya saya sayang Malaysia. Saya bangga Malaysia punya berbilang kaum. Saya juga sentiasa mengajar anak-anak untuk berkawan dengan semua orang tak kira bangsa. Pilih kawan yang baik agar kita jadi baik. Kalau boleh merosakkan hindarilah secepat mungkin. Tapi mesti berkawan dengan semua bangsa sebab kita orang Malaysia.

Satu ketika dulu saya seorang ahli Pandu Puteri yang setia. Saya masih pegang dan ingat serba sedikit prinsip-prinsip seorang Pandu Puteri. Masih ingat antara ajarannya; kita tak boleh biarkan Bendera Malaysia kena hujan, Bendera Malaysia jatuh ke tanah. Bendera Malaysia dipermainkan. Bising mulut saya mengingatkan anak-anak buah bila mereka tidak mematuhi perkara yang mudah ini. Memang saya membebel panjang. Saya anggap kalau kita permainkan bendera kita samalah dengan tidak sayang dan menghargai negara sendiri. Masa tu kami masih usia mentah jadi tak ramai ambil pusing. Katanya saya cerewet. Tak kisahlah....

Tapi bila saya lihat di Utusan Malaysia dua tiga hari ini, semakin saya rasa tercabar, tercalar dan sangat marah. Melampau sungguh. Biadap. Bukan pertama kali benda macam ni berlaku. Dah berkali. Malaysia masih boleh bertahan dan bertenang lagi tambahan ini bulan puasa. Memang bukan semua rakyat negara itu begitu tapi yang segelintir ini perlu pihak sana "sekolah"kan. Ini sangat melampau. Saya bukan tak suka negara itu. Malah saya sangat sayang seorang dari rakyat negara itu. Bibik saya, Sukaenah Sanaji. Sangat sayang macam saudara sendiri. Saya selalu berdoa dimurahkan rezeki agar saya dapat mengambilnya kembali bekerja dengan saya. Biar dia tua dengan saya. Saya tak kisah. Budinya pada saya Allah sahaja dapat membalasnya.

Saya tak suka bergaduh dan saya tak benci semua rakyat negara itu. Tapi saya sayang Malaysia. Saya tak sanggup lihat mereka melakukannya lagi hingga nak letak gambar kebiadapan itu dalam blog saya pun saya tak sanggup. Mereka harus sedar rakyat mereka mencari rezeki di negara ini bukan sedikit, hendak diharapkan negara sendiri, sekitar landasan keretapi pun mereka terpaksa tinggal. Jadi jangan la terlalu sombong. Orang Malaysia juga harus bersatu. Bukan satu kaum tapi semua. Tidak kira bangsa. Kalau kita boleh boikot Israel yang zalim kenapa tidak negara itu. Kita tak perlu berperang. Cukuplah sekadar menunjukkan kita tak mudah dipermainkan dan kita punya maruah. Saya sangat tercabar & tercalar tapi minta maaf sekiranya saya salah...kenapa orang atasan tiada yang lantang bersuara. Setiap hari hal yang sama diperdebatkan. Tapi imej dan maruah kita tak ramai bersuara. Saya rasa kita patut fokus bila ada orang luar bersikap biadab terhadap kita. Tak kira bangsa harus bersatu. Tak perlu berperang tapi mesti lantang menyatakan pada mereka kita Malaysia bukan mudah diperbodohkan.

Minta maaf jika catatan kali ini mengguris. Tersilap kata Tersalah bahasa, mohon maaf. Saya cuma rakyat biasa yang cintakan Malaysia. Cinta saya Bukan Cinta Biasa....

Selamat Hari Merdeka semua...Bersatu kita teguh bercerai kita roboh...

Polis Indonesia perketat kawalan gerakan usir rakyat Malaysia

JAKARTA 25 Ogos - Semua lokasi berkepentingan Malaysia di Jakarta dikawal polis berikutan terdapat maklumat Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) akan melancarkan gerakan mengusir rakyat Malaysia atau Sweeping Malaysian hari ini.

Antara langkah diambil oleh pihak berkuasa Indonesia ialah menempatkan sebanyak 200 anggota polis mengawal kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Indonesia di sini, sejak pukul 9.30 pagi.

Selain itu, polis juga ditempatkan bagi mengawal keselamatan di Kedutaan Besar Malaysia, Pejabat Petronas dan Bank CIMB Niaga.

Petronas turut mengarahkan kakitangannya supaya pulang awal iaitu pada pukul 1 petang setelah menerima ancaman tersebut.

Polis memberitahu demonstrasi itu akan dilakukan oleh Gerakan Pemuda Pemudi Anti Malaysia iaitu salah satu cabang di dalam Bendera.

Seorang pegawai polis yang berkawal di kediaman duta besar turut mengingatkan wartawan supaya berhati-hati kerana ada maklumat menyebut kumpulan itu nekad untuk menahan rakyat Malaysia.

Berikutan itu, semua pelajar Malaysia di Jakarta telah dinasihatkan tidak melalui kawasan Jalan Diponegoro, Menteng, Jakarta Pusat untuk mengelakkan daripada tindakan 'sweeping' oleh anggota Bendera.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar mengingatkan pelajar supaya keluar rumah dalam berkumpulan dan segera menghubungi beliau atau pemimpin pelajar jika diancam oleh mana-mana pihak.

"Saya minta seluruh mahasiswa Malaysia agar menghindari kawasan Menteng, khususnya Jalan Diponegoro. ia dikenal pasti antara kawasan yang akan dilakukan 'sweeping' rakyat Malaysia oleh kumpulan Bendera," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang ini, iaitu had waktu dibenarkan oleh polis untuk mengadakan demonstrasi, hanya satu demonstrasi kecil dilakukan kira-kira 15 minit di hadapan Kedutaan Besar Malaysia.

Daripada maklumat polis, dijangka satu demonstrasi besar-besaran membabitkan pelbagai badan bukan kerajaan akan diadakan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia esok yang disertai kira-kira 1,000 orang.

Utusan Malaysia difahamkan demonstrasi itu akan disertai ramai penunjuk perasaan kerana mereka mahu mengambil kesempatan untuk mendapatkan 'duit raya' kerana semakin hampirnya sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Petang Isnin lalu, 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan membawa bersama lima bungkus najis manusia kerana membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa marin Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos lalu.

Salah seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis itu masuk ke dalam pintu pagar kedutaan besar, manakala yang lainnya meletakkan kotoran itu ke atas bendera Malaysia di jalan dan memijaknya. - UTUSAN

0 nak komen..:

 

Mama vs Dunia Baru Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Make Money from Zazzle|web hosting